Home Pertahanan dan Keselamatan APMM lupus 4 bot nelayan bernilai RM90 ribu

APMM lupus 4 bot nelayan bernilai RM90 ribu

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 4 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang telah melakukan proses pelupusan barang kes yang telah selesai dan mendapat perintah mahkamah untuk dimusnahkan di tempat tahanan vesel Limbongan Batu Maung, pagi tadi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pelupusan ini dilakukan secara hancur musnah yang mana melibatkan 4 bot nelayan tempatan yang telah dilucut hak dengan nilai anggaran lebih kurang RM90,000.

Menurutnya, badan bot akan dihancur musnahkan sementara enjin bot akan dilelong.

“Hasil lelongan keempat – empat enjin bot itu pada 22 September 2021 menyumbang hasil kepada kerajaan dengan nilai RM8,500,

“Keempat-empat bot ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 dan telah dilucutkan hak berasingan iaitu pada 23 Januari 2020, 30 Disember 2020 dan 14 Januari 2021,

“Kesemua bot terbabit didakwa di atas kesalahan menggunakan bot pukat rawa sorong yang merupakan peralatan menangkap ikan yang dilarang dan bot nelayan tempatan kelas A yang telah tamat tempoh lesennya,” katanya dalam hantaran di laman media sosial APMM, pada Isnin.

Abd Razak menegaskan, bot yang dilupuskan secara hancur musnah ini adalah bukti ketegasan APMM dalam menguatkuasakan undang-undang Persekutuan di Zon Maritim Malaysia selain sebagai peringatan dan amaran buat komuniti maritim yang melanggar peraturan serta undang-undang persekutuan.

Sementara itu, beliau berkata, masih terdapat 11 buah bot pelbagai jenis yang sedang menunggu perintah mahkamah untuk dilucuthak termasuk barang eksibit lain iaitu bubu naga dan dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM 116 juta.

Dalam masa yang sama, APMM menjelaskan, pihaknya akan terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan perairan Malaysia terutama di Pulau Pinang agar sentiasa terkawal dari sebarang bentuk pelakuan jenayah maritim.

“Individu yang mempunyai sebarang maklumat, aduan atau kecemasan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply