KAJANG, 1 Okt 21 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menahan seramai 297 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dijalankan di rumah kongsi 7 blok kontena di Jalan Eco Majestic 1/2c awal pagi Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam telah menjalankan pemeriksaan ke atas tujuh buah kontena yang didiami seramai 326 warga asing.
“Operasi ini hasil daripada aduan penduduk sekitar di mana kalau kita perhatikan kawasan ini dikelilingi apartmen, rumah teres dan banglo mewah,
“Penduduk sekitar membuat aduan berkenaan penempatan tersebut yang berada dalam keadaan sesak dan tidak mematuhi aspek kebersihan serta berpotensi menjadi kawasan pembiakan denggi,” katanya.
“Jumlah warga asing yang ditahan membabitkan warga Indonesia seramai 94 lelaki dan 28 wanita, 95 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Ghana, 66 lelaki warga Myanmar dan enam lelaki serta tujuh wanita warga Vietnam,” ujarnya.
Tambahnya, kawasan penempatan tersebut jelas melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446.
“Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 ini majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 malah ada yang pernah dikenakan denda mencecah RM350,000 sebelum ini,” katanya. – airtimes.my