Home Semasa Johor, Negeri Sembilan dan Pahang beralih fasa PPN Jumaat ini

Johor, Negeri Sembilan dan Pahang beralih fasa PPN Jumaat ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi 3 buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, peralihan itu akan mula dikuatkuasa pada 24 September ini.

“Negeri Sembilan beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, Pahang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, peralihan fasa itu dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil ICU serta peratusan lengkap divaksinasi.

“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Ismail Sabri turut menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini.

“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” jelasnya.

Sementara itu, bagi perkembangan lain, Ismail Sabri turut menjelaskan, antara ketetapan lain yang turut diputuskan hari ini ialah waktu pengoperasian kedai runcit, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa esok (23 September 21).

“Membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM,

“Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021,

“Pusat, premis, produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha, operator serta pelawat, pengunjung lengkap divaksin,” tambahnya.

Tegasnya, kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada
kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru rakyat agar terus mematuhi sop yang ditetepkan dan memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply