Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 241 set bubu naga di perairan Kerian

APMM rampas 241 set bubu naga di perairan Kerian

by Air Times News Network

KUALA KURAU, 22 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau berjaya merampas 241 set bubu naga bernilai RM21,690 di perairan Kerian, pada Isnin.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, operasi membanteras penggunaan bubu naga ini melibatkan seramai 20 pegawai dan anggota penguatkuasa serta 3 aset iaitu bot Kilat 9, Kilat 30 dan Benteng 3.

“Sejumlah 241 set bubu naga telah ditemui dan dirampas dianggarkan bernilai RM21,690 dengan anggaran nilai setiap set RM90.00,

“Kesemua bubu naga yang dirampas telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM.

Menurut Shahrizan operasi ini bertujuan untuk membanteras penggunaan bubu naga secara haram di kalangan komuniti nelayan setempat yang menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai serta turut membantutkan pembiakan hidupan laut.

“Pelbagai aduan dan rungutan diterima APMM daripada komuniti nelayan setempat berkaitan aktiviti tidak bertanggungjawab ini oleh segelintir komuniti nelayan tempatan,

“Penggunaan bubu naga bukan sahaja salah di sisi undang-undang, bahkan boleh menjejaskan kelestarian ekosistem laut Malaysia dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” ujarnya.

Sementara itu, Shahrizan berkata, untuk rekod Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas sebanyak 259 set bubu naga bermula Januari sehingga Ogos tahun ini.

“Secara keseluruhannya Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas sejumlah 500 set bubu naga sepanjang tahun ini dengan anggaran nilai RM45,000,

“Kesemua set bubu naga yang dirampas sedang menjalani prosedur undang-undang untuk dilupuskan,

“Terdahulu, pada 6 April, Zon Maritim Kuala Kurau telah melupuskan sejumlah 1,338 set bubu naga yang dirampas sepanjang tahun 2020,” jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply