if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Kerajaan pertimbang kebenaran rentas negeri, elak kesan buruk kepada rakyat

Kerajaan pertimbang kebenaran rentas negeri, elak kesan buruk kepada rakyat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, kerajaan akan mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan aktiviti merentas negeri secara menyeluruh pada akhir Oktober sekiranya negara memasuki fasa endemik.

Menurutnya, kebenaran merentas negeri berskala besar itu perlu dinilai secara berhati-hati supaya tidak mendatangkan implikasi dan beban kepada fasiliti kesihatan.

Selain itu, beliau berkata, penelitian secara menyeluruh harus dibuat kerana perjalanan besar-besaran buat masa ini berupaya membawa jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan tidak berisiko.

“Saya harap kita dapat fikir secara mendalam seperti kita sedang berusaha ke fasa endemik yang akan merangkumi keputusan merentas negeri,

“Pelbagai pertimbangan lain perlu diambil kira seperti peratusan vaksinasi, keperluan hospital dan kapasiti katil unit rawatan rapi,

“Sebab itu kita agak berhati-hati dalam masa sama tidak boleh lari daripada keputusan untuk melihat fasa endemik pada hujung Oktober ini. Ketika itu insya-ALLAH kita boleh membuat keputusan berhubung soal rentas negeri,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Hishammuddin berkata, peralihan ke fasa endemik bergantung kepada perkembangan program vaksinasi dan pertimbangan bagi aktiviti rentas negeri juga merangkumi keupayaan fasiliti kesihatan bagi negeri-negeri terlibat.

“Ketika ini kebenaran merentas negeri hanya dibenarkan bagi perkara-perkara tertentu melibatkan individu yang telah lengkap divaksin termasuk pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi, kebenaran bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang mahu melawat anak di bawah 18 tahun,” tambahnya.

Terdahulu, beliau menjelaskan, Mesyuarat Menteri Kuartet bersetuju cadangan untuk stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam.

Katanya, premis perniagaan itu akan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negeri. -aritimes.my

Related Articles

Leave a Reply