Home Pertahanan dan Keselamatan Pakatan ketenteraan AUKUS: Kerajaan mesti nyatakan pendirian di Parlimen – PH

Pakatan ketenteraan AUKUS: Kerajaan mesti nyatakan pendirian di Parlimen – PH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menyatakan pendirian Malaysia berkenaan pakatan strategik ketenteraan baru antara Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia (AUKUS).

Jawatankuasa Keselamatan PH berkata, mereka mahu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah untuk menjelaskan pendirian kerajaan di Parlimen mengenai pakatan itu.

Jawatankuasa itu berpendapat, pakatan kerjasama baharu AUKUS yang turut meliputi perolehan kapal selam berkuasa nuklear bernilai AUD 90 bilion sebagai perkembangan besar di rantau ini.

“Langkah Australia, US dan UK ini besar kemungkinan akan meningkatkan suhu ketegangan di rantau Asia,

“Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di tengah persaingan geopolitik dunia yang semakin sengit, Malaysia perlu meneliti dan menyatakan pendiriannya dengan jelas,

“Selari dengan kepentingan negara, Malaysia perlu menjelaskan bahawa kita bersedia bekerjasama dengan semua pihak. Namun, sebelum itu, AS dan China perlu meredakan ketegangan khususnya di Laut China Selatan dan rantau Asia secara amnya,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Kota Raja (AMANAH), Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul; dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Dalam masa yang sama, mereka menjelaskan, ketegangan yang memuncak tidak akan membawa manfaat kepada kepentingan mana-mana negara di rantau ini.

Terdahulu, AS, UK dan Australia setuju untuk menubuhkan satu pakatan ketenteraan baharu di rantau Asia- Pasifik. Melalui inisiatif AUKUS, Australia bakal menerima sekurang-kurangnya 8 buah kapal selam berkuasa nuklear untuk kegunaan tentera lautnya.

Australia dan UK merupakan negara anggota Aturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) yang turut disertai oleh Malaysia, Singapura serta New Zealand. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply