Home Pertahanan dan Keselamatan Hishammuddin: Kementerian Pertahanan sedia aturgerak anggota bantu KPM buka sekolah

Hishammuddin: Kementerian Pertahanan sedia aturgerak anggota bantu KPM buka sekolah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kementerian Pertahanan bersedia bekerjasama dan membantu Kementerian Pendidikan bagi memastikan kelancaran pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Okt ini di seluruh negara termasuk dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama ini dalam konteks persiapan sebelum pembukaan sekolah iaitu ATM sedia mengaturgerak anggota untuk membantu guru serta kakitangan KPM dalam membuat susun atur meja dalam bilik darjah dan bilik guru mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta membersihkan kawasan sekolah.

“Kedua, melancarkan pemberian vaksin kepada pelajar termasuk anak-anak warga ATM berumur 16 hingga 17 tahun,

“Ketiga, menyediakan test kit untuk sekolah-sekolah dalam kem ATM,

“Keempat, Kementerian Pertahanan dan KPM juga akan bekerjasama bagi memperkasa pusat tuisyen dalam kem-kem ATM demi kepentingan pendidikan anak-anak warga ATM termasuklah dalam menambahbaik modul-modul pembelajaran serta memberi latihan kepada tenaga pengajar,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin di Wisma Pertahanan, hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan setakat ini terdapat seramai 2,169 orang guru KPM ditugaskan semua sekolah dalam kem-kem ATM di seluruh negara.

“Alhamdulillah, proses pemberian vaksin kepada guru-guru ini berjalan lancar yang mana saya dimaklumkan, daripada jumlah 2,169 orang guru, seramai 1,990 atau lebih 90 peratus telah menerima vaksinasi lengkap,

“Ini perkembangan yang baik terutama dalam konteks kesihatan menjelang permulaan sesi pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid-murid di beberapa buah negeri tidak lama lagi,” jelasnya.

Katanya lagi, ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) sentiasa bersedia untuk diatur gerak bila-bila masa bagi membantu KKM memberi vaksin kepada semua pelajar melalui Combat Medic Vaccination Team (CMVT) mahupun membuka stesen pemberian vaksin pandu lalu. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply