KUALA LUMPUR, 11 Sept – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan bantuan logistik bagi penghantaran bekalan perubatan kritikal ke Sarawak menggunakan pesawat angkut A400M, semalam.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, penerbangan ini membawa 67 unit Oxygen Concentrator 10L/Min dan 80 karton Viral Transport Medium (VTM) iaitu jumlah 40,000 kit dengan anggaran berat sebanyak 2,181 kilogram (kg).
Menurutnya, bekalan perubatan ini adalah sumbangan dari Yayasan Bursa Malaysia dan di bawah pengendalian Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF).
“Penerbangan ini bagi menampung operasi dan keperluan mendesak terutamanya di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sarawak berikutan peningkatan kes COVID-19,” katanya.
Katanya, pesawat ini turut membawa bekalan farmasi dan peralatan perubatan kritikal, peralatan perlindungan diri (PPE).
Bekalan ini daripada makmal Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kota Kinabalu iaitu 15 karton STARMag 364 Extraction Kit dan 4 karton Megcore Viral Nucleic Acid Extraction Kit.
Pesawat dikendalikan Juruterbang, Lt Kol Nazlan Shah Zainal TUDM dan dibantu oleh Kapten Nur Antasha Zulkarnain TUDM bersama 5 kru itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 8.00 pagi ke Pangkalan Udara Kuching. – airtimes.my