Home Pertahanan dan Keselamatan Guna nombor pendaftaran palsu, 2 bot nelayan Vietnam, 19 kru ditahan APMM

Guna nombor pendaftaran palsu, 2 bot nelayan Vietnam, 19 kru ditahan APMM

by Nurulhuda

PASIR PUTIH, 9 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kelantan berjaya menahan 2 bot nelayan asing Vietnam bersama 19 kru termasuk 2 tekong pada jarak lebih kurang 93 dan 95 batu nautika daripada Muara Tok Bali, kemarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, kedua-dua bot ini disyaki menyamar dengan memalsukan nombor pendaftaran tempatan yang tidak wujud di dalam sistem pangkalan data Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau menjelaskan, forensik awal di badan bot turut mendapati kesan-kesan nombor pendaftaran asal negara Vietnam yang telah dipadamkan dengan cat putih. Struktur fizikal serta ‘compartment’ kedua-dua bot juga menyerupai ciri-ciri bot nelayan Vietnam.

“Bot pertama ditahan pada jam 9.31 pagi manakala bot kedua ditahan pada jam 10.21 pagi oleh Kapal Maritim (KM) TOK BALI, semasa rondaan Operasi Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Kelantan,

“Bot pertama dikendalikan 8 kru termasuk tekong, manakala bot kedua 11 kru termasuk tekong yang kesemuanya adalah warga Vietnam berumur dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa nama kru yang tiada di dalam senarai ‘crew list’ kedua-dua bot berkenaan.

“2 kru mempunyai passport dan 9 lagi hanya mengemukakan buku pelaut sebagai dokumen pengenalan diri, manakala 8 lagi tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” jelasnya.

Tambahnya, 2 bot ini juga dipercayai baharu memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan salah satu bot dengan lebih kurang 50 kilogram sotong, manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan ditemui serta bekalan bahan api diesel lebih kurang 9,500 liter.

“Kedua-dua bot serta 19 kru nelayan Vietnam ditahan dan diring masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan,

“Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah lebih kurang RM 2.5 juta,

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru,” tambahnya.

Menurut Syed Nor Adli, kesemua 19 tahanan warga Vietnam itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan telah disahkan negatif oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).-airitmes.my

 

Related Articles

Leave a Reply