Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 15,754 PATI, 1,148 tekong ditahan sejak Mei 2020

Op Benteng: 15,754 PATI, 1,148 tekong ditahan sejak Mei 2020

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Seramai 15,754 pendatang asing tanpa izin (PATI), 1,148 tekong dan 781 penyeludup telah ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan sejak Mei 2020 sehingga 7 September 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihak berkuasa juga telah mengusir seramai 2,232 orang PATI yang cuba memasuki sempadan negara dalam operasi tersebut.

“Menerusi laporan yang saya terima, hasil kerjasama bersepadu antara 19 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Op Benteng di bawah National Task Force (NTF), seramai 15,754 PATI berjaya ditangkap, manakala 2,232 PATI telah diusir sejak Mei 2020 hingga 7 September 2021,

“Daripada sudut rampasan pula, sebanyak 2,381 buah kenderaan darat dan 540 buah kapal atau bot berjaya dirampas,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya, hari ini.

Beliau berkata, ATM akan terus komited berusaha dan mengekalkan kerjasama dengan semua agensi terlibat demi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan PATI.

“Selari dengan matlamat utama pelaksanaan Op Benteng, ATM akan terus berusaha sedaya upaya dan kekal bekerjasama rapat dengan semua 19 agensi terlibat demi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan PATI di samping mengekang penularan wabak COVID-19 yang mungkin dibawa oleh PATI berkenaan,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply