Home Pertahanan dan Keselamatan Berlabuh secara haram, 2 kapal tangki ditahan di perairan Johor

Berlabuh secara haram, 2 kapal tangki ditahan di perairan Johor

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 1 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 2 kapal tangki yang disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal tangki itu telah ditahan oleh aset APMM pada kedudukan 17 batu nautika timur laut Tanjung Siang kira-kira jam 5 petang.

“Kapal tangki pertama yang ditahan berdaftar dari Mongolia dikendalikan 7 kru warga Indonesia dan Singapura berumur antara 23 tahun hingga 55 tahun mempunyai pengenalan diri yang sah,

“Kapal tangki kedua pula berdaftar dari Equatorial Guinea, dengan 9 kru warga Indonesia berumur antara 23 tahun hingga 59 tahun juga mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Menurutnya, sejak Operasi Jangkar Haram dilaksanakan pada Mac lalu, jumlah kapal yang bersauh secara haram terutama di tompok utara didapati telah berkurangan dengan catatan jumlah terendah yang dilaporkan hanya 2 buah kapal sahaja berbanding sebelum ini.

“Sebanyak 93 buah kapal telah ditahan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri Johor sejak awal tahun sehingga kini,

“Penurunan jumlah ini menunjukkan pemilik syarikat perkapalan, ejen kapal, dan nakhoda telah mulai akur dan patuh terhadap penguatkuasaan undang-undang negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Nurul Hizam menjelaskan, pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan di perairan negara tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply