Home SemasaGlobal Britain rancang bentuk rejimen Afghan, setara dengan Gurkha

Britain rancang bentuk rejimen Afghan, setara dengan Gurkha

by M.Daim

LONDON, 30 Ogos – Kerajaan Britain sedang mempertimbangkan pembentukan rejimen baharu dalam tenteranya yang terdiri daripada anggota pasukan khas Afghanistan.

Difahamkan, pembentukan rejimen baharu tersebut adalah menyamai dengan Gurkha.

“Rancangan pembentukan rejimen tersebut sedang dalam pertimbangan kerajaan Britain. Cadangan ini turut disokong oleh bekas jeneral, bekas menteri dan jawatankuasa khas parlimen,

“Pihak berwajib telah menerima dan meneliti kertas cadangan,” lapor The Telegraph.

Langkah ini dilihat sebagai salah satu cara oleh kerajaan Britain untuk memastikan warga Afghanistan yang keluar dari negara mereka mendapat pekerjaan tetap.

Semalam, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyatakan kerajaannya akan membantu rakyat Afghanistan untuk memberi sumbangan kepada kehidupan serta ekonomi negara.

Dalam ucapannya yang menandakan tamatnya operasi tentera British di Afghanistan, Boris menegaskan anggota tentera yang terkorban dalam tempoh 20 tahun operasi di negara itu bukanlah sia-sia.

Sementara itu, London telah memutuskan untuk membenarkan anggota tentera Afghanistan yang berjaya dalam kursus di Akademi Sandhurst untuk menyertai Tentera British.

Menurut laporan Telegraph, anggota pasukan khas tentera Afghanistan memainkan peranan yang penting dalam operasi evakuasi rakyat Britain di Kabul.

Mereka telah melakukan penyamaran untuk mencari warga Britain dan Afghanistan yang pernah berkerja dengan tentera untuk dibawa keluar dari kawasan yang dikuasai oleh Taliban.

“Dalam Operasi Pitting, mereka (anggota pasukan khas Afghanistan) telah membawa pelarian yang telah dikenalpasti ke lapangan terbang dan diserahkan kepada anggota tentera British,

“Kesemua anggota keselamatan dan tentera Afghanistan yang berkerja dengan tentera British telah dibawa keluar semasa penerbangan akhir semalam,” kata laporan itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply