Home Semasa Kedai gunting rambut antara 11 sektor dibenar beroperasi dalam Fasa 1 mulai esok

Kedai gunting rambut antara 11 sektor dibenar beroperasi dalam Fasa 1 mulai esok

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selain itu, keputusan dibuat setelah berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor berkepentingan,” katanya.

11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1 ialah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot serta kedai peralatan sukan.

Juga dibenarkan beroperasi adalah kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani sahaja; kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Menurutnya, bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja), terdapat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

“SOP adalah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan di antara pekerja dan pelanggan, serta tidak membenarkan penggunaan fitting room,

“SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” ujarnya.

Manakala, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply