Home Pertahanan dan Keselamatan Hari Pahlawan: Muhyiddin rakam penghargaan kepada warga ATM, PDRM atas khidmat bakti

Hari Pahlawan: Muhyiddin rakam penghargaan kepada warga ATM, PDRM atas khidmat bakti

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas khidmat bakti yang dicurahkan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara sempena Hari Pahlawan.

Beliau menerusi hantaran di media sosialnya berkata, sumbangan serta khidmat bakti warga ATM dan PDRM, khususnya mereka yang bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19 tidak ternilai harganya.

“Dalam kita memerangi pandemik COVID-19, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan ini telah membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertaruhkan nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada di antara mereka turut dijangkiti dan kehilangan nyawa,

“Daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalan raya, memastikan prosedur standard operasi (SOP) dipatuhi kepada membantu golongan yang terkesan dengan agihan bakul makanan, daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit COVID-19 yang terjangkiti, para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap (serentak) bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang masih dalam tugasan.

“Semoga anda semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan,

“Buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan,

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Tentunya pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang zaman,” ujarnya.

Sementara itu, segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara.

“Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply