Home Semasa Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya – Hishammuddin

Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jul – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan melantiknya sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang baru diumumkan sebentar tadi.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau turut diberi kepercayaan untuk mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri. Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai Kluster Keselamatan, selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan PPN,

“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik COVID19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya melalui Facebook rasminya, hari ini.

Hishammuddin berkata, hanya dengan kestabilan, kesatuan dan kerjasama semua pihak, mampu membawa Malaysia keluar daripada pandemik ini bersama-sama.

Beliau turut berkata, meskipun dilantik sebagai Menteri Kanan, beliau adalah orang yang sama, yang akan berkhidmat untuk rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan dengan mengekalkan portfolio Kementerian Luar.

Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri yang kini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, Perdana Menteri turut melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang potfolio Menteri Pertahanan.

Muhyiddin berharap dengan pelantikan dua jawatan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang tulus, bebas rasuah serta berintegriti. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply