Home Semasa Kami sedia hadapi PKPD, sama-sama kita patuhi SOP – Penduduk PPR Pantai Ria

Kami sedia hadapi PKPD, sama-sama kita patuhi SOP – Penduduk PPR Pantai Ria

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Jul – Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam telah bersiap sedia untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula malam tadi.

Tinjauan di kawasan perumahan tersebut malam tadi menyaksikan rata-rata penduduk sudah membeli barangan keperluan terlebih dahulu untuk kegunaan harian sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Bagi seorang penduduk, Basir Mohamad, 64, berkata, beliau yang mengetahui arahan PKPD tersebut dari aplikasi whatsapp kumpulan juga berkata sempat membeli serba sedikit barangan keperluan untuk keluarganya.

Basir Mohamad, 64, berkata beliau terima pelaksanaan PKPD ini dan sempat membeli barangan dapur dan makanan untuk menampung keluarga. Foto: AirTimes/Danish

“Saya tahu kena buat PKPD dalam kumpulan whatapps semalam, jadi sempat la pagi tadi beli barangan dapur dan makanan untuk menampung keluarga,

“Lain-lain keperluan yang tidak sempat dibeli, kita tunggulah dulu, mungkin akan dapat sumbangan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa kerja-kerja pemasangan pagar kawat duri, malam tadi.

Basir turut mengingatkan penduduk lain di perumahan tersebut agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi sama-sama membantu memutuskan penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

“Masa mula-mula tengok tempat lain kena PKPD, hati kecil kami berkata mesti penduduk kawasan itu tidak patuh kepada arahan,

“Tetapi apabila diri sendiri yang kena (PKPD), hendak marah pun tak boleh, kita harus ikut arahan kerajaan untuk kebaikkan kita semua,” tambahnya.

Ketika kru Air Times membuat tinjauan di lokasi, terdapat beberapa khemah bagi menempatkan ujian saringan COVID-19 telah didirikan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak malam tadi.

Sementara itu, Rohana Paramasivam, 36 tahun turut menyeru penduduk di perumahan tersebut dan orang ramai untuk terus patuh kepada SOP yang ditetapkan serta sama-sama berusaha dengan petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus menghadapi wabak ini.

Jururawat Hospital Pantai, Rohana Paramasivam, 36 berkata, beliau yang turut mengendalikan pesakit COVID-19 turut terkesan apabila kawasan perumahannya dikenakan PKPD. Foto: AirTimes/Danish

Menurutnya, sebagai seorang jururawat yang turut mengendalikan pesakit COVID-19, beliau juga terkesan apabila wabak pandemik ini melanda negara.

“Sebagai fronliners saya juga berasa sedih, kebanyakkan petugas barisan hadapan kini mengalami tekanan kerja dalam usaha membantu kerajaan, dan sebab itu saya berharap semua penduduk jaga diri dan SOP masing-masing,

“Saya mintak sangat rakyat Malaysia untuk duduk dirumah dan terus patuh pada SOP kerana barisan hadapan negara sedang berhadapan dengan situasi yang sangat genting,

“Sebagai seorang fronliners, saya sepatutnya bertugas untuk membantu kerajaan tetapi tidak dapat bekerja kerana terlibat dengan PKPD,” ujarnya.

Kerja-kerja pemasangan pagar kawat duri telah dilakukan oleh anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD) malam tadi. Foto: AirTimes/Danish

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di PPR Pantai Ria, Pantai Dalam ini adalah berikutan pengesanan peningkatan kes COVID-19 yang dikesan secara mendadak di lokaliti tersebut.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan sebanyak 861 ujian saringan di PPR Pantai Ria dan 171 daripadanya disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata, KKM juga mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM untuk melakukan saringan secara aktif dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.-airtimes.my

Seramai 3 orang pegawai dan 50 anggota dari 1 RRD telah melaksanakan pemasangan hampir 900 meter pagar kawat duri bagi mengepung 4 blok perumahan di lokaliti tersebut. Foto: AirTimes/Danish

 

Related Articles

Leave a Reply