Home Semasa Mat Sabu rayu Agong buka semula Parlimen

Mat Sabu rayu Agong buka semula Parlimen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kembali membuka Parlimen walaupun ketika negara sedang berusaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

“Saya minta supaya Parlimen dibuka semula, kembali bersidang, kita boleh ambil contoh di negara United Kingdom, semasa pandemik paling teruk, sidang Parlimen semakin kerap diadakan kerana rakyat hendak tahu apa program kerajaan untuk mengatasi COVID-19 ini, tidak seperti di negara kita, kes COVID-19 teruk tetapi Parlimen tutup,

“Buat masa sekarang semuanya terserah kepada Seri Paduka Baginda untuk membuka parlimen atau tidak,” katanya selepas keluar dari Istana Negara, pada Rabu.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menjelaskan segala hujahnya sudah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini terpulang kepada budi bicara dan kebijaksanaan baginda untuk bertindak.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau turut menyerahkan semua perihal kerajaan persekutuan yang gagal dalam menangani pandemik COVID-19 kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Tuanku faham mengenai perkara ini dan kami serah kepada kebijaksanaan Tuanku (sama ada kerajaan gagal atau tidak menangani COVID-19),

“Rakyat seharusnya dibela daripada segi bantuan ekonomi yang lebih besar dan aspek vaksinasi yang harus disegerakan kepada seluruh rakyat,” katanya selepas sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Mohamad dan Lim Guan Eng antara 4 pemimpin parti politik termasuk pembangkang yang dijadualkan hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini hingga Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir mengadap Baginda pada jam 7.50 dan 10.35 pagi tadi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply