Home Semasa COVID-19: 2 keluarga cetus kluster terbesar di Hulu Terengganu

COVID-19: 2 keluarga cetus kluster terbesar di Hulu Terengganu

by Nurulhuda

HULU TERENGGANU, 7 Jun – Kluster Kampung Matang yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri dan ziarah hari raya pada Aidilfitri lalu merupakan kluster yang terbesar di Hulu Terengganu akibat penularan wabak COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pada mulanya 19 individu daripada 2 keluarga dikesan positif COVID-19 sehingga menjangkiti rakan sekerja dan jemaah masjid.

“Hasil siasatan menunjukkan berlakunya rentas negeri sebelum raya. Ada pula ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar. Bayangkan 19 dikesan positif dari hanya daripada 2 keluarga,

“Selepas Aidilfitri mereka masuk kerja tanpa di sedari telah menjangkiti rakan sekerja pula. Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti seterusnya menjangkiti individu lain,” katanya dalan hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau menjelaskan, Kluster Kampung Matang kini telah merebak ke 3 buah kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat selain kluster itu juga masih aktif.

“Setakat ini seramai 127 kes positif dikesan dari kluster ini yang telah merebak hingga ke generasi ke lima dengan 725 orang kontak rapat,” tambahnya.

Dr Nor Azimi berkata, sehingga kini seramai 127 kes positif dikesan dari kluster ini yang telah merebak hingga ke generasi ke lima dengan 725 orang kontak rapat.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan beberapa buah kampung manakala sebanyak 975 sampel yang diambil masih menunggu keputusan.

“Kita faham, jangkitan dalam keluarga agak sukar dibendung namun apabila melibatkan beberapa keluarga, jiran tetangga dan pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung,

“Perkara ini amat kita kesal dan sangat marah sebenarnya,”ujarnya.

Menurutnya, kisah penularan COVID-19 yang dikongsikan ini dapat dijadikan iktibar oleh masyarakat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi kesihatan bersama.

“Jika keadaan begini berterusan dan kluster baru tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster tu serentak?

“Jika keadaan begini berterusan mampu ke kita landaikan lekuk epid dalam masa 2 minggu ini?

“Kawalan kendiri sangat penting. Jika kita kekal duduk rumah kecuali ada urusan penting maka kita tidak akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain. InsyaAllah. Pencegahan itu sangat lebih baik dari merawat,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply