Home Semasa JLM nafi kesesakan di Terminal Feri Kuala Kedah tidak terkawal

JLM nafi kesesakan di Terminal Feri Kuala Kedah tidak terkawal

by Air Times News Network

KUALA KEDAH, 18 Mei – Jabatan Laut Malaysia (JLM) menafikan kesesakan di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah tidak terkawal seperti mana tular di media sosial, semalam.

JLM dalam satu kenyataan menerusi laman media sosial rasminya berkata, selaras dengan larangan rentas daerah dan rentas negeri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadual pergerakan feri ke Langkawi telah dihadkan kepada hanya 1 trip sehari.

Namun atas permintaan yang tinggi dari orang ramai, pihak pengusaha telah dibenarkan membuat penambahan sebuah lagi feri My Master.

“Menyedari pengendalian seramai 651 orang pengguna merupakan tugas besar, JLM telah memohon bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal selia penumpang semasa beratur memasuki terminal serta feri,

“PDRM telah menyediakan bantuan tersebut sekaligus menjalankan pemeriksaan dokumen perjalanan rentas daerah dan negeri,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, penumpang yang memasuki terminal juga diwajibkan untuk mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera dan menjalani imbasan suhu badan sebagai langkah penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

PDRM juga turut melaksanakan pemeriksaan dokumen perjalanan kali kedua di Terminal Feri Penumpang Kuah sejurus feri My Master tiba dan mengesahkan bahawa kesemua penumpang yang diperiksa memiliki kebenaran perjalanan yang sah.

Menerusi kenyataan sama, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan berkuatkuasa mulai 19 Mei hingga 1 Jun 21 di daerah Kota Setar yang melarang sebarang pergerakan boleh menyebabkan perkhidmatan feri penumpang dihentikan sepenuhnya.

“Warganet digesa agar lebih bertanggungjawab apabila menyebarkan maklumat di media sosial sekiranya imej tersebut boleh mengundang keresahan masyarakat umum,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply