Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas 36 kg ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Kastam rampas 36 kg ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

by Nurulhuda

KUCHING, 3 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah berjaya merampas 36,956 kilogram dadah jenis ganja dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sepanjang tempoh minggu lepas.

Pengarah JKDM Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, rampasan pertama tahun ini yang melibatkan dadah jenis ganja itu membabitkan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM92,390.00.

Jelasnya, kedua-dua kes itu membabitkan cubaan membawa masuk dadah ke negeri ini menerusi LTAK yang disorok menggunakan bagasi penumpang.

“Kes pertama, pada 28 April 2021 Pegawai Kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPT) LTAK telah membuat imbasan ke atas bagasi penumpang wanita yang baru tiba dari Kuala Lumpur,

“Hasil imbasan tersebut menunjukkan imej yang mencurigakan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi kemudiannya membawa kepada penemuan 18 bungkusan yang dibaluti menggunakan kertas hadiah dan kertas karbon, mengandungi daun tumbuhah mampat disyaki dadah jenis ganja,” katanya dalam hantaran di media sosial milik JKDM, Sarawak.

Menurutnya, kesemua 18 bungkusan mampat yang disyaki ganja itu dianggarkan seberat 18.264 kilogram dengan nilai anggaran berjumlah RM45,600.00.

“Wanita tempatan berusia lewat 20-an telah ditahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memperedarkan dadah yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama,” jelasnya.

Kes kedua pula, Herman berkata, ia melibatkan 19 bungkusan mampat yang disyaki dadah berbahaya jenis ganja dengan anggaran berat 18,692gram dan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM46,730.00.

“Hasil imbasan dan pemeriksaan rapi yang telah dijalankan di UKPP, LTAK dipercayai bagasi berkenaan sengaja ditinggalkan dan tidak dituntut oleh mana-mana individu setelah menyedari kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan oleh pihak Kastam,

“Ekoran itu, bagasi tersebut telah disita untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,

“Pengesanan ke atas pemilik bagasi berkenaan berdasarkan kepada rekod syarikat penerbangan akan dijalankan dan pihak Kastam percaya tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat,” jelasnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply