Home Semasa 2 individu ditahan guna surat ‘Istana Negara’ palsu rentas negeri

2 individu ditahan guna surat ‘Istana Negara’ palsu rentas negeri

by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Apr  – Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang mengemukakan surat, dengan kepala surat tertera nama Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebagai kebenaran untuk rentas negeri, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata ia bermula apabila anggota polis Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Dang Wangi yang sedang membuat rondaan di hadapan McDonald’s Jalan P. Ramlee melihat suspek berumur 27 dan 47 itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, suspek menyerahkan tiga keping surat, kononnya dokumen yang memberi kebenaran untuk rentas negeri.

“Setelah diperiksa, surat itu didapati menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan surat berkenaan menjelaskan kebenaran diperoleh daripada Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu manakala kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply