Home Pertahanan dan Keselamatan PGA cekup 2 transporter, 14 PATI Indonesia di Sungai Buntu

PGA cekup 2 transporter, 14 PATI Indonesia di Sungai Buntu

by Air Times News Network

PONTIAN, 19 Apr – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam berjaya mencekup 2 transporter warganegara Indonesia yang cuba membawa 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Jalan Laut Kampung Sungai Buntu, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Superintendan Dimin Awang berkata, tangkapan dibuat dalam dua serbuan berasingan.

“Tangkapan pertama pada jam 2.05 pagi, pasukan telah menahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai transporter berumur 32 tahun bersama 5 lelaki Indonesia berusia 24 hingga 65 tahun,

“Mereka dipercayai cuba pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu disekitar Jalan Laut Kampung Sungai Buntu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Turut dirampas sebuah kenderaan Perodua Alza yang digunakan untuk menghantar kesemua PATI.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan disekitar kawasan tersebut telah berjaya menahan sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Aruz yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara Indonesia yang bertindak sebagai transporter berusia 36 tahun.

“Turut ditahan 4 lelaki dan 5 perempuan warganegara Indonesia berumur antara 22 hingga 53 tahun,

“Kesemua mereka dipercayai baru sahaja masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” ujarnya.

Menurut Dimin, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM146 ribu.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 26(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya. – airtimes.my

Gambar galeri:

 

Related Articles

Leave a Reply