Home Pertahanan dan Keselamatan PGA tahan 5 lelaki, rampas rokok di Semporna

PGA tahan 5 lelaki, rampas rokok di Semporna

by Nurulhuda

SEMPORNA, 16 Apr – Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau telah menahan 5 orang lelaki bersama 3 buah bot dalam 2 siri tangkapan di perairan Pulau Bohayan, pada Khamis.

Pegawai Pemerintah, Batalion 14 PGA Tawau, Supt Mohd Yacob Murad berkata, tangkapan dilaksanakan oleh anggota pasukan ronda Operasi Benteng (Op Benteng) yang mengesan pergerakan sebuah bot dari arah perairan Semporna menuju ke perairan Filipina.

“Menyedari kehadiran pasukan polis, juragan bot bertindak memecutkan botnya dengan tujuan untuk melepaskan diri namun dapat di pintas oleh bot Polis PGA,

“Semasa pemeriksaan awal dijalankan, terdapat 3 orang lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 24 hingga 39 tahun. Kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya dalam hantaran di media sosial milik Batalion 14 PGA Tawau.

Mohd Yacob menjelaskan, anggota turut menjumpai 1 tong gas berwarna hijau dan 6 gelen berkapasiti 50 liter berisi minyak petrol dipercayai minyak petrol bersubsidi yang ingin diseludup keluar ke negara jiran.

“Turut dirampas, sebuah bot laju dan sebuah enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 14,595.00,” tambahnya.

Sementara itu, tangkapan kedua pula dilakukan di perkampungan Pulau Bohayan, di mana pasukan yang sama juga telah ternampak beberapa orang dalam keadaan mencurigakan cuba untuk melarikan diri dari 2 buah bot.

“Hasil pemeriksaan awal didapati 2 lelaki warga tempatan masing-masing berumur 17 dan 27 tahun berada di dalam rumah itu,

“Anggota pasukan telah menjumpai sebuah kotak besar berwarna coklat di dalamnya berisi 5 pek rokok jenama L3 Menthol, 5 pek rokok jenama New R.S Menthol, 3 pek rokok jenama Astro Putih dan 1 pek rokok jenama Tradition di salah sebuah bilik rumah tersebut,

“Rokok-rokok tersebut dipercayai rokok seludup yang cuba dijual untuk pasaran tempatan,

“Manakala pemeriksaan di dalam kedua-dua bot itu, menjumpai 109 gelen berkapasiti 50 liter dan 35 gelen daripadanya berisi minyak petrol dipercayai minyak petrol bersubsidi,” ujarnya.

Anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am turut merampas 109 gelen berkapasiti 50 liter dan 35 gelen daripadanya berisi minyak petrol dipercayai minyak petrol bersubsidi. Foto : Batalion 14 PGA Tawau

Tambahnya, turut dirampas sejumlah wang tunai peso Filipina berjumlah 136,700 peso, wang tunai Malaysia RM 190.00, 2 bot laju, 2 enjin OBM jenis Yamaha 250 kuasa kuda, 1 enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda dengan nilai anggaran rampasan kedua ini berjumlah RM 232,314.50.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan dan tindakan lanjut. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply