Home Semasa COVID-19: KKM cadang rentas negeri semasa Aidilfitri ditangguhkan

COVID-19: KKM cadang rentas negeri semasa Aidilfitri ditangguhkan

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 15 Apr – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasi penularan pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan ini berikutan kes harian masih lagi meningkat dan belum stabil.

“Kita telah pun memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diteruskan lagi sehingga 28 April ini,

“Dan selepas itu keputusan akan dibuat, memandangkan kes harian masih lagi meningkat dan belum stabil, kita mencadangkan supaya rentas negeri untuk hari raya ditangguhkan,

“Kerana kita bimbang, terdapat varian baharu dalam komuniti dan program imunisasi (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response to COVID-19: Perspectives From The Field’, di pejabatnya hari ini.

Ketika ditanya mengenai individu yang telah mendapat dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan pengecualian untuk merentas negeri, beliau berkata pihak KKM masih menunggu beberapa dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

“Walau bagimanapun, untuk mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan, merentas negeri dibenarkan kerana ia merupakan satu keperluan untuk mereka bertugas,” ujarnya.

Pada Sabtu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesa KKM untuk membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply