Home PolitikPakatan Harapan Pakatan Harapan angkat Anwar sebagai calon PM

Pakatan Harapan angkat Anwar sebagai calon PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Apr – Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengangkat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan mengetuai gabungan itu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

PH dalam kenyataan berkata, keputusan ini merupakan antara 7 ketetapan yang dicapai hasil pemukiman pimpinan PH di Port Dickson pada 8 hingga 9 April 2020.

“Kami mendesak Perdana Menteri untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan sekali gus menamatkan darurat,

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh Pakatan Harapan dalam mendepani PRU-15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pimpinan PH mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan negara, dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan sinergi pembangunan ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.

“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH,” ujarnya.

Antara ketetapan lain adalah, PH juga mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat.

“Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada rakyat berkait pendirian dan tawaran PH menyentuh isu Ekonomi Rakyat, Kestabilan Politik dan Krisis Pandemik COVID-19,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply