SEOUL, 9 Apr – Korea Selatan hari ini melancarkan prototaip jet pejuang keluaran industri pertahanan negara itu, KF-21 Boramae.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Sacheon.
Menurut beliau, pelancaran KF-21 keluaran Korea Aerospace Industries akan membuka era baharu dalam keupayaan mandiri industri pertahanan Korea Selatan.
“Ini merupakan satu detik bersejarah kepada industri aviasi Korea Selatan,
“Fasa pengeluaran besar-besaran KF-21 akan membuka peluang pekerjaan dan menambah nilai industri kepada US$5.2 bilion,” katanya semasa menyampaikan ucapan rasmi majlis.
Beliau menambah, kerajaan Korea Selatan mensasarkan sebanyak 40 buah jet pejuang ini akan dioperasikan pada tahun 2028 dan 120 pada 2032.
KF-21 dibangunkan melalui projek KF-X yang bertujuan untuk menggantikan peranan F-4 dan F-5 dioperasikan oleh Tentera Udara Korea Selatan.
Program yang dilancarkan pada tahun 2015 ini adalah bernilai US$7.9 bilion.
Indonesia merupakan satu-satunya negara yang berkongsi dengan Korea Selatan dalam program pembangunan jet pejuang ini.
KF-21 dijangka akan melaksanakan penerbangan pertama tahun 2022 dan akan mencapai pembangunan penuh pada 2026.
Kejayaan pembangunan KF-21 akan menjadikan Korea Selatan menjadi negara ke-13 untuk menghasilkan jet pejuangnya sendiri. – airtimes.my