JOHOR BAHRU, 4 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah menahan sebuah kapal dagang kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki berkenaan ditahan pada kedudukan 12.6 batu nautika timur Tanjung Penawar, jam 2.45 petang.
Beliau berkata, tangkapan itu adalah susulan kejayaan Op Jangkar Haram minggu lalu dan pihaknya meneruskan lagi operasi dengan memantau rapat aktiviti berlabuh tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati kapal tangki yang berdaftar di Torre Del Greco, Itali ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut,
“Master dan Chief Officer kapal tersebut telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,
“Tangkapan tersebut merupakan tangkapan ke 19 Operasi Jangkar Haram sejak dilaksanakan 24 Mac lalu dan jumlah keseluruhan penahanan setakat tahun ini adalah sebanyak 37 buah kapal,”katanya dalam hantaran di laman sosial milik APMM.
Nurul Hizam berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini dan menyeru kepada semua agen-agen kapal serta komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan. –airtimes.my