Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Tentera Darat cekup 19 PATI sembunyi di perairan Desaru

Tentera Darat cekup 19 PATI sembunyi di perairan Desaru

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 9 Mac – Hasrat 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal tidak kesampaian apabila dicekup oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI warga Indonesia itu dipercayai sedang menunggu bot untuk keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak sah.

“Pasukan menerima maklumat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pergerakan PATI berhampiran Pantai Desaru,

“Sepasukan anggota pasukan Quick Reaction Force (QRF) kemudian diatur gerak bersama pasukan dron, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk mengepung kawasan berkenaan,

“Hasil serbuan yang dilakukan pada jam 3.30 pagi telah berjaya menahan sekumpulan 12 orang PATI yang sedang bersembunyi 200 meter daripada Desaru Holiday Chalet Seaview,” menurut kenyataan itu.

Seterusnya, serbuan kedua dilakukan pada jam 4 pagi sebaik mendapat maklumat daripada pasukan dron yang mengesan pergerakan di tepi pantai Westin Desaru Coast Resort dan berjaya menahan 3 lagi PATI.

“4 lagi PATI ditahan di lokasi sama pada jam 7.50 pagi dan 11.40 pagi,” ujarnya.

Tambahnya, tangkapan terdiri daripada 18 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 55 tahun.

“Pasukan turut merampas wang tunai RM28,271 mata wang Indonesia 19.4 juta Rupiah (RM5,554) serta beberapa telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM51,704,” jelasnya.

Semua PATI kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pihaknya berkata, operasi mengesan saki baki PATI masih diteruskan di kawasan sekitar serbuan dilakukan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply