Home SemasaGlobal 70 juta penduduk di 4 negara ASEAN hadapi krisis air angkara empangan China

70 juta penduduk di 4 negara ASEAN hadapi krisis air angkara empangan China

by M.Daim

BANGKOK, 14 Feb – Paras sungai merentasi Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam dilaporkan dalam kritikal.

Badan Pesuruhjaya Sungai Mekong (Mekong River Commission, MRC) dalam satu kenyataan berkata, paras air sungai keenam terpanjang di Asia itu susut secara mendadak semenjak awal tahun ini.

“Terdapat perubahan mendadak paras air sungai di kawasan hilir Empangan Jinghong hingga ke Vientiane,

“Situasi ini adalah mencabar bagi komuniti setempat untuk bersedia menhadapi sebarang kemungkinan,” kata Dr Winai Wangpimool, Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal MRC.

Menurut MRC, penurunan paras air Sungai Mekong adalah berpunca dari kadar taburan hujan yang rendah, perubahan arus di kawasan hulu sungai, empangan hidroelektrik di kawasan Sungai Mekong dan sekatan arus sungai dari Empangan Jinghong di China.

Empangan Jinghong merupakan empangan hidroelektrik yang terletak di wilayah Yunnan, berhampiran sempadan China-Thailand.

Pada Januari lalu, Kementerian Sumber Air China telah memaklumkan kepada Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam arus air dari Empangan Jinghong akan dikurangkan untuk sementara waktu.

Menurut MRC, China menyatakan kawalan arus air dilakukan mula 1 Januari sehingga 24 Januari.

“Namun begitu, mereka (China) tidak menyatakan jumlah air yang akan dilepaskan pada 25 Januari,” katanya.

Pada masa yang sama, Winai menggesa agar China mendedahkan rancangan pemulihan bekalan air kepada negara-negara yang terjejas.

Sementara itu, MRC turut mendedahkan berlaku perubahan warna pada air sungai Mekong.

“Warna biru kehijauan pada Sungai Mekong menunjukkan pertumbuhan alga di dasar sungai,

“Situasi ini berlaku semenjak 2019,” kata Dr So Nam, Ketua Bahagian Pengurusan Alam Sekitar MRC.

Beliau turut menjelaskan perubahan warna tersebut menunjukkan fenomena paras air yang rendah.

Sungai Mekong merupakan sumber air kepada 70 juta penduduk di kawasan sekitarnya. Sungai ini berperanan dalam memberikan sumber air, makanan dan kegiatan ekonomi.

MRC merupakan badan antara kerajaan yang berperanan sebagai medan dialog dan kerjasama antara Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand. Organisasi ini ditubuhkan semenjak tahun 1995. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply