Home Semasa Warga asing di Malaysia dapat vaksin COVID-19 percuma

Warga asing di Malaysia dapat vaksin COVID-19 percuma

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kerajaan bersetuju memberi vaksin COVID-19 secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam kenyataan berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat jemaah Menteri yang dilaksanakan semalam.

“Ini akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia,

“Ia selari dengan tema Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan “tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat,” menurut kenyataan itu.

JKAV menambah, pemberian vaksin secara percuma kepada golongan itu mengambil kira beberapa faktor antaranya, persekitaran selamat serta bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk diberikan vaksin.

“Dalam tempoh pandemik ini, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan,

“Selain itu, rekod jumlah pesakit yang tinggi adalah menerusi kluster melibatkan pekerja warga asing,” tambahnya.

Selain kos rawatan yang tinggi terpaksa ditanggung kerajaan, pekerja asing juga menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Negara luar juga memberi layanan kepada warga Malaysia yang menetap di luar negara dengan turut memberi vaksin COVID-19,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, JKJAV berkata, keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu.

“Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak,

“Keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin COVID-19 yang diperolehi Malaysia adalah mencukupi dan melebihi jumlah warganegara yang layak menerima,

“Ia juga adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik COVID-19,” jelasnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply