Home SemasaGlobal Indonesia larang sekolah wajibkan pemakaian tudung

Indonesia larang sekolah wajibkan pemakaian tudung

by Air Times News Network

JAKARTA, 5 Feb – Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia hari ini mengumumkan larangan ke atas sekolah awam untuk mewajibkan pemakaian tudung di kalangan pelajarnya.

Tindakan tersebut diambil setelah kisah seorang pelajar bukan Islam dipaksa memakai tudung sewaktu tempoh pembelajaran menjadi tular.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim menegaskan, pemakaian tudung adalah hak individu dan bukan keputusan sekolah, lapor BBC News Indonesia.

Pihaknya telah memberikan tempoh selama 30 hari untuk pihak sekolah membatalkan peraturan tersebut atau berdepan tindakan sekiranya mengingkari arahan yang dikeluarkan.

Arahan itu dikeluarkan apabila seorang pelajar bukan Islam sebuah sekolah diminta untuk memakai tudung sewaktu tempoh pembelajaran. Pelajar tersebut enggan dan pihak sekolah telah memanggil kedua ibu bapanya untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Sementara itu, Elianu Hia bapa kepada pelajar berkenaan menjelaskan anak perempuannya setiap hari dipanggil oleh pihak sekolah kerana tidak memakai tudung sewaktu tempoh pembelajaran.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan bukan Islam di sebuah sekolah vokasional di daerah Padang dihukum apabila enggan memakai tudung ketika mengikuti kelas dalam talian.

Isu tersebut menjadi tular apabila ibu bapanya membuat rakaman video secara sembunyi sewaktu pertemuannya dengan pihak sekolah dan memuat naik di media sosial. Menerusi video tersebut, pegawai terbabit menegaskan bahawa pelajar perempuan diwajibkan memakai tudung berdasarkan peraturan di sekolah.

Kontroversi yang berlaku mendorong sekolah untuk meminta maaf dan menarik balik hukuman.

Memetik kenyataan seorang penyelidik Kumpulan Hak Asasi, Andreas Harsono yang dilaporkan Reuters, Banyak sekolah awam berkehendakkan pelajar dan guru wanita memakai tudung namun sering menyebabkan mereka dibuli, diugut, tertekan dan dalam beberapa kes memaksa mereka meletak jawatan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply