Home Pertahanan dan Keselamatan MKN arah agensi kerajaan siap sedia hadapi ancaman serius Anonymous Malaysia

MKN arah agensi kerajaan siap sedia hadapi ancaman serius Anonymous Malaysia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi membendung ancaman Anonymous Malaysia.

MKN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius ancaman Anonymous Malaysia untuk menggodam laman web kerajaan.

“NACSA juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya,

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan, serta sistem kritikal negara,

“Garis panduan untuk mempertingkatkan pengetahuan serta pengukuhan sistem teknologi maklumat sentiasa diutamakan,” kata MKN.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah selari dengan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

“Strategi ini menggariskan tindakan bagi mengukuhkan sistem ICT kerajaan serta sistem kritikal negara termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Artikel berkaitan: Anonymous Malaysia ancam godam laman web kerajaan

Semalam, tular satu video dari kumpulan penggodam Anonymous Malaysia yang memberi amaran bahawa mereka akan melancarkan serangan siber terhadap laman web kerajaan dalam masa terdekat melalui kempen #OpWakeUp21.

Kumpulan tersebut berkata mereka telah berdiam diri terlalu lama dan mungkin tiba masanya untuk melakukan sesuatu.

Mereka mendakwa sistem keselamatan siber kerajaan Malaysia begitu rendah dan data-data yang disimpan mudah bocor yang mengakibatkan penggodam mengambil peluang untuk menjual maklumat. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply