Home Semasa COVID-19: 8 negeri catat pertambahan kes baharu dalam 3 angka

COVID-19: 8 negeri catat pertambahan kes baharu dalam 3 angka

by M.Daim

PUTRAJAYA, 13 Jan – Sebanyak 8 buah negeri di seluruh negara dikesan mencatatkan angka kes jangkitan baharu COVID-19 dalam 3 angka hari ini.

Selangor masih mencatatkan angka kes tertinggi iaitu sebanyak 837 kes. Johor pula mencatatkan 535 kes sementara Sabah 450.

Sebanyak 290 kes direkodkan di Kuala Lumpur dengan satu daripadanya melibatkan kes import. Sarawak turut mencatatkan satu kes import dari 166 kes baharu.

Pahang merekodkan 143, Negeri Sembilan 106 manakala Pulau Pinang 105.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media berkata, jumlah kes baharu yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu adalah sebanyak 2,987 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 2 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 2,983 kes jangkitan penularan tempatan direkodkan. 2,109 kes melibakan rakyat Malaysia sementara 874 kes lagi adalah bukan warganegara.

“Sehingga kini, terdapat 197 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan,

“Terdapat pertambahan 4 kes kematian dengan satu daripadanya adalah bukan warganegara,

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 32,377 kes” jelas Noor Hisham.

Selain itu, seramai 994 pesakit COVID-19 telah dibenarkan pulang.

Statistik terkini menunjukkan COVID-19 telah menjangkiti seramai 144,518 orang dengan 111,578 daripadanya telah disahkan sembuh.

Jumlah pesakit maut akibat wabak itu adalah sebanyak 563 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply