ALOR SETAR, 12 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah menahan sebuah bot pukat tunda tempatan kelas C bersama 5 nelayan warga asing dalam Operasi Benteng Laut 1/2020 di sekitar 3 batu nautika dari muara Kuala Kedah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot tersebut ditahan sekitar jam 4.20 petang semalam bersama 5 kru termasuk tekong.
“Tekong dan 3 kru merupakan warga Thailand serta seorang kru warga Kemboja berusia diantara 35 hingga 51 tahun,
“Hasil pemeriksaan mengesyaki bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen dan kesalahan di bawah seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia,” ujar beliau.
Menurutnya, kelima-lima nelayan yang ditahan telah melakukan ujian saringan COVID-19 mengikut SOP ditetapkan.
“Bot bersama hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 2 tan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,
“Bagi kesalahan di bawah Seksye 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan mata pukat tidak mengikuti spesifikasi atau peralatan yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali,
“Manakala, bagi kesalahan dibawah seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 pula boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Faizal turut menggesa pengusaha bot agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
“Pihak APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” tegas beliau. -airtimes.my