Home Pertahanan dan Keselamatan Perairan Laut China Selatan perlu kekal bebas untuk tujuan komersial

Perairan Laut China Selatan perlu kekal bebas untuk tujuan komersial

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Perairan Laut China Selatan perlu kekal bebas dan selamat untuk tujuan komersial, tanpa sebarang aktiviti ketenteraan atau dijadikan sebagai medan konflik persaingan kuasa-kuasa besar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob, turut menggesa semua pihak yang terlibat untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan di rantau ini.

Beliau berkara demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-14 (ADMM) dan ADMM-Plus ke-7 melalui persidangan video di Kementerian Pertahanan, semalam.

Mesyuarat yang berlangsung 2 hari bermula 9 hingga 10 Disember 2020 telah dihoskan oleh Vietnam sebagai Pengerusi ASEAN 2020 dan mesyuarat ADMM-Plus melibatkan Menteri Pertahanan dari semua negara Asean serta 8 negara rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia serta Setiausaha Agung ASEAN.

“Turut ditekankan mengenai krisis pelarian Rohingya yang telah memberi kesan kepada aspek sosial dan ekonomi Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Isu ini tidak seharusnya ditanggung secara bersendirian oleh mana-mana negara khususnya Malaysia,

“Negara-negara anggota ASEAN khususnya rakan dialog Plus dan masyarakat antarabangsa diseru untuk mempertingkatkan usaha bersama bagi membantu mencari penyelesaian jangka panjang yang berkesan terhadap krisis kemanusiaan ini,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pelbagai perkara berkaitan dengan kerjasama pertahanan serantau, termasuk 5 inisiatif kerjasama serantau baharu untuk dipersetujui oleh Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN.

Ini termasuklah dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk Kumpulan Sedia Tentera ASEAN mengenai Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (ASEAN Militaries Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief, AMRG on HADR), yang mana Malaysia merupakan negara yang telah mencadangkan penubuhannya.

“SOP ini bertujuan sebagai panduan kepada tentera negara-negara ASEAN dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan bencana kepada negara-negara yang dilanda bencana di rantau ini secara pantas dan terselaras di bawah panji ASEAN,

“Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan solidariti ASEAN dalam menghadapi bencana di rantau ini, selaras dengan konsep ‘One ASEAN One Response’,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut serta dalam 3 Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN+1, iaitu dengan Amerika Syarikat, China dan Jepun yang diadakan bersampingan dengan mesyuarat ADMM-Plus ke-7.

Beliau juga telah menyertai sambutan ulang tahun ke-10 ADMM-Plus, dan juga sesi bersama tetamu khas Pengerusi ADMM, iaitu Jerman, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan United Kingdom.

Mesyuarat ADMM ke-14 dan ADMM-Plus ke-7 diakhiri dengan sesi menandatangani Deklarasi Bersama oleh kesemua Menteri Pertahanan bagi memperkukuhkan semangat kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog Plus. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply