Home Pertahanan dan Keselamatan PKPD Telipok Ria: ATM pasang kawat duri terpanjang di Sabah

PKPD Telipok Ria: ATM pasang kawat duri terpanjang di Sabah

by Nurulhuda

TUARAN, 28 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri (NADMA) Sabah dengan memasang kawat duri di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah.

Pemasangan tersebut adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di kawasan tersebut bermula semalam sehingga 10 Disember depan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di laman sosialnya berkata, pemasangan 200 gelung concertine wire ini merupakan yang terpanjang dalam tempoh pelaksanaan PKPD di Sabah.

“Aktiviti pemasangan ini telah melibatkan 5 Pegawai dan 70 anggota masing-masing daripada Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (3 RAMD), Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) dan Pusat Pertahanan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (PPU TLDM), Sepanggar yang diketuai oleh Mej Afif Md Ali,

“Hampir 18,000 orang penduduk akur dalam menjalani tempoh PKPD ini yang dilaksanakan selama 14 hari,

“Kesemua penduduk tidak dibenarkan keluar serta dikehendaki mematuhi panduan amalan klinikal yang ketat bagi menghentikan kluster aktif di daerah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Taman Telipok Ria dikenakan PKPD bermula semalam sehingga 10 Disember depan ekoran pengesanan 253 kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, masih terdapat 581 sampel saringan yang masih menunggu keputusan ujian tersebut.

Pelaksanaan PKPD ini melibatkan keluasan kawasan 229,459 meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 orang penduduk. –airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply