Home Semasa Bukan JASA, ianya J-KOM dan bukannya mesin propaganda – Menteri Komunikasi

Bukan JASA, ianya J-KOM dan bukannya mesin propaganda – Menteri Komunikasi

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menegaskan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah kementeriannya adalah berbeza dengan sebelum ini.

“Selari dengan peredaran semasa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyedari penubuhan semula JASA hariuslah berbeza dengan fungsi dan peranannya yang sebelum ini,

“Kabinet telah bersetuju JASA dijenamakan dan distruktur semula. Ia dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-KOM,” kata Menteri di Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan J-KOM bukan mesin propaganda seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

“J-KOM bukan mesin propaganda, dan ia tidak akan berlaku di bawah tanggungjawab saya,” tegas Saifuddin.

Menurutnya, J-KOM berperanan dalam membentuk medium komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan maklumat serta menerima maklum balas.

Selain itu, program dan aktiviti jabatan ini meliputi 3 komponen utama iaitu komuniti berbudaya ilmu, komuniti digital serta komuniti patriotik.

“Kementerian akan berkerjasama rapat dengan agensi-agensi lain di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah,

“J-KOM akan mengakar-umbikan peranan agensi-agensi lain di bawah KKMM yang pada ketika ini terhad pada peringkat kebangsaan dan negeri,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi di bawah KKMM. Mesyuarat tersebut turut mengenalpasti kelemahan yang sama dan perlu diatasi dalam kadar segera.

“Di bawah kementerian ini, kita mempunyai 3 komponen kerja iaitu Analisis, Penyelesaian dan Pelaksanaan,

“Analisis dan penyelesaian adalah 2 kelemahan besar dan ianya berlaku semasa pemerintahan yang lalu,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh pendekatan penyebaran maklumat mengenai COVID-19 mutakhir ini yang lebih bergantung kepada sidang media oleh Menteri Kanan Keselamatan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Banyak maklumat mengenai COVID-19 yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara telah keluar,

“Namun, kita tidak melihat kisah dari sudut kemanusiaan seperti penat lelah yang dihadapi oleh para frontliner,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply