Home Semasa UMANY bacul dan pengecut – GPMS

UMANY bacul dan pengecut – GPMS

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyatakan, permohonan maaf Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) dan penarikan balik kenyataan mereka bertarikh 30 Oktober yang lalu adalah satu tindakan bacul.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, mereka melihat tindakan ini seolah-olah seperti ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Hal ini demikian kerana telah beberapa kali UMANY bertindak melampaui batas dan biadab. Sudah sampai masanya tindakan seperti ini dihentikan melalui amalan undang-undang,

“Dalam pada masa yang sama, UMANY dilihat cuba mengalihkan pandangan masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang ditindas apabila menuduh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyalahgunakan kuasa dan bertindak melampaui hak asasi manusia,

“Ini adalah tindakan bacul dan sekali lagi mencabar prinsip kedaulatan undang-undang di dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, GPMS bertegas tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat oleh semua cawangan dan ahli GPMS seluruh negara bersama-sama rakan-rakan NGO.

“Kami juga menyeru pihak polis agar tidak tunduk dengan permintaan daif UMANY supaya pihak polis menghentikan siasatan,

“Siapa UMANY untuk menentukan gerak kerja dan siasatan pihak Polis?,” soal Mohd Alif.

Dalam pada itu, GPMS bertegas bahawa UMANY perlu disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimeda 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang Dipertuan Agong.

“Jika tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa, GPMS bimbang lebih ramai individu mahupun kumpulan-kumpulan pelampau seperti UMANY akan membuat kenyataan-kenyataan yang menghina dan mempersenda isu-isu sensitif seperti ini,

“GPMS juga telah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 2 November yang lalu supaya pihak Universiti Malaya mengambil tindakan mengharamkan UMANY sebagai sebuah persatuan mahasiswa di Universiti tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, GPMS merasakan bahawa tidak perlu ada persatuan pelampau yang mampu merosakkan akal waras mahasiswa dan tidak beradab.

“Kerana ianya jelas bertentangan dengan prinsip kelima didalam rukun negara yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat selama ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata GPMS sebagai sebuah gerakan belia dan pendidikan tertua di negara ini tidak pernah gentar dan takut dengan mana-mana organisasi yang cuba mengkucar-kacirkan keamanan negara.

“GPMS dan rakan-rakan NGO tidak akan duduk diam jika kes UMANY ini tidak dihukum sewarasnya,

“GPMS juga akan terus menjadi sebuah gabungan pelajar melayu yang bermaruah dan mempertahankan suara pelajar-pelajar melayu dalam pelbagai isu termasuk isu nasional,” tegasnya.

Semalam, menerusi satu hantaran di Faceebooknya, UMANY memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia dan menarik balik kenyataan yang bertajuk “YDPA should not interfere in national affairs”.

“Pihak UMANY ingin menegaskan bahawa kami mematuhi sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan.

“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak UMANY ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku (Seri Paduka Baginda) atas kekurangan pemahaman kami terhadap Perlembagaan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply