Home Semasa Semua kakitangan Parlimen negatif, bebas COVID-19

Semua kakitangan Parlimen negatif, bebas COVID-19

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamis Samin hari ini memaklumkan semua kakitangan Parlimen Malaysia adalah negatif dan bebas daripada jangkitan COVID-19.

Beliau berkata demikian, bagi merujuk kepada beberapa laporan media semalam berhubung isu individu yang bertugas di Parlimen positif COVID-19.

“Parlimen Malaysia ingin menjelaskan bahawa, ujian saringan COVID-19 telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 28 dan 30 Oktober 2020,

“Ujian ini melibatkan semua pegawai dan kakitangan Parlimen Malaysia termasuk Polis Bantuan yang bertugas di Parlimen,

“Hasil ujian menunjukkan bahawa semua kakitangan Parlimen adalah negatif dan bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ujian saringan tersebut turut melibatkan pihak media rasmi dan Ahli-Ahli Parlimen untuk Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bermula, semalam.

“Terdapat 2 kes positif yang melibatkan seorang petugas media dan seorang pegawai kepada Ahli Dewan Negara,

“Kedua-dua kes tersebut telah pun diambil tindakan lanjut oleh KKM sejurus selepas keputusan ujian saringan diperoleh,” ujarnya.

Tambahnya, Parlimen Malaysia telah membuat pelbagai usaha serta persediaan yang sewajarnya untuk mengekang penularan wabak COVID-19 bagi memastikan kelancaran persidangan dan pembentangan belanjawan yang akan diadakan pada 6 November ini. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply