Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam patahkan cubaan seludup dadah dalam pen marker

Kastam patahkan cubaan seludup dadah dalam pen marker

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 1,614 gram dianggarkan bernilai RM64,560 yang disorokkan di dalam pen marker pelbagai warna disyaki untuk dihantar ke Asia Timur.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM telah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah itu melalui perkhidmatan kurier di Sentul, Kuala Lumpur pada 23 Oktober lalu lebih kurang jam 3.30 petang.

“Seorang lelaki warga asing berumur 35 tahun ditahan ketika sedang berurusan di kaunter perkhidmatan kurier,

“Turut dirampas sebuah kotak yang diikrarkan sebagai alat tulis yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Johari, hasil pembongkaran rapi ke atas kotak tersebut, menjumpai bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan dalam pen marker pelbagai warna, anggaran berat kasar keseluruhan 854 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM34,160.

“Siasatan awal mendapati kotak tersebut akan dihantar ke salah sebuah negara yang terletak di Asia Timur,

“Walau bagaimanapun, kecekapan pihak Kastam telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah ke luar negara dan telah menangkap seorang lelaki warganegara asing yang bertanggungjawab membuat penghantaran kotak tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, perintah reman ke atas lelaki tersebut telah diperolehi daripada Mahkamah Majistret KL selama 7 hari bermula 24 Okt hingga 30 Okt 2020.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 sebatan,

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, pada kira-kira jam 6.30 petang 26 Okt 2020, sepasukan anggota Cawangan Narkotik telah membawa suspek dan melakukan serbuan ke atas rumah suspek yang terletak di Kuala Lumpur,

“Hasil serbuan itu, beliau pasukan telah berjaya menemui sejumlah bahan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan dalam pen marker dengan anggaran berat kasar 760g bernilai RM30,400,” katanya.

Tambah Johari, jumlah rampasan keseluruhan dadah jenis methamphetamine dalam kes ini melibatkan anggaran berat kasar sebanyak 1,614 gram dianggarkan bernilai RM64,560. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply