Home Pertahanan dan Keselamatan Kumpulan kedua MALBATT 850-7 tiba di tanah air setelah berbakti Lubnan

Kumpulan kedua MALBATT 850-7 tiba di tanah air setelah berbakti Lubnan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Kumpulan kedua Malaysian Battalion 850-7 (Malbatt 850-7) tiba di tanah air semalam selepas setahun berkhidmat di bawah misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di Lubnan.

Kepulangan seramai 212 orang yang terdiri daripada 10 orang pegawai dan 195 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 7 dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah selamat tiba pada jam 6.00 petang, di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Ketibaan mereka telah disambut Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM yang mewakili Panglima Angkatan Tentera.

“Beliau mewakili Panglima Angkatan Tentera mengucapkan selamat kembali ke Malaysia serta tahniah kepada seluruh anggota MALBATT 850-7 kerana telah berjaya melaksanakan tugas di Lubnan dalam tempoh jangkamasa 12 bulan sejak 24 september 2019 lalu,

“Walaupun terdapat insiden letupan besar dan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekarang, anggota Malbatt 850-7 telah meneruskan tugas dengan efektif, efisien dan selamat,” kata Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan facebook rasminya.

Pada 3 Oktober lalu, kumpulan pertama MALBAT 850-7 yang diketuai oleh Mejar Ahmad Basri Abdullah telah selamat pulang ke tanah air stelah setahun menabur bakti di bumi Lubnan.

Awal Oktober lalu, kumpulan pertama MALBATT 850-8 yang melibatkan seramai 215 pegawai dan anggota diketuai oleh Kolonel Azuddin Hassan telah berlepas ke Lubnan.

MALBATT 850-8 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL dan ditempatkan di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin. Kotinjen ini akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply