Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas dadah jenis ketamin RM1.7 juta

Kastam rampas dadah jenis ketamin RM1.7 juta

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 14 Okt – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan kotak bijiran sarapan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata pihaknya merampas dadah jenis ketamin seberat 30.68kg yang bernilai RM1.7 juta.

Beliau berkata, rampasan pada 8 Okt jam lebih kurang 2.05 petang telah dilakukan anggota Cawangan Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – LTAKL) dengan kerjasama Cawangan Narkotik, JKDM Ibu Pejabat hasil dari maklumat awam dan risikan.

“Pasukan telah menahan 2 orang lelaki yang disyaki warganegara asing berumur 37 dan 45 tahun di sekitar Ampang, Selangor dan berjaya merampas dua kotak besar berbentuk serbuk jenis ketamin,

“Hasil siasatan awal mendapati, dadah tersebut disyaki diimport dari sebuah negara di Asia Selatan melalui LTAKL menggunakan pesawat kargo dan diikrar sebagai bahan makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tersebut telah direman di Mahkamah Majistret Ampang selama 7 hari dan akan didakwa dalam tempoh terdekat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” ujarnya.

Tambahnya, statistik rampasan dadah oleh JKDM Zon Tengah ini dari bulan Januari 2020 sehingga kini adalah sebanyak 150 kes yang bernilai RM5,067,112.00. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply