Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-8 berlepas ke Lubnan tanpa lambaian ahli keluarga

MALBATT 850-8 berlepas ke Lubnan tanpa lambaian ahli keluarga

by Air Times News Network

SUBANG, 1 Okt – Walaupun tiada kehadiran ahli keluarga, kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8) tetap berlepas ke Lubnan bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun.

Kumpulan pertama ini dianggotai 215 anggota diketuai oleh Komander MALBATT 850-8, Kolonel Azudin Hassan bersama 53 pegawai dan 162 anggota lain-lain pangkat (LLP) berlepas menerusi Pangkalan Udara Subang, jam 4 petang hari ini.

“Walaupun buat pertama kalinya ahli keluarga tidak dapat bersama-sama hadir pada majlis penghantaran kontinjen MALBATT pada kali ini, saya yakin bahawa mereka amat berbangga kepada yang terpilih untuk melaksanakan misi ini,” kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 di Pangkalan Udara Subang hari ini.

“Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi di bawah panji-panji PBB di Lubnan merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM,

“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seluruh anggota MALBATT 850-8 untuk memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa,”jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa  Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.

Keseluruhan kekuatan anggota MALBATT 850-8 dari ATM terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota LLP termasuk 3 pegawai dan 20 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

MALBATT 850-8 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran.

Kumpulan kedua, ketiga dan keempat MALBATT 850-8 dijadualkan akan berlepas secara berperingkat pada 15, 29 Oktober dan  15 November ini.

MALBATT 850-8 ditugaskan untuk menggantikan MALBATT 850-7 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin. Kotinjen ini akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

Sebelum itu, anggota MALBATT 80-8 menjalani latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kebajikan Anggota dan Ahli Keluarga MALBATT 850-8 Terjaga

Menteri Pertahanan juga berkata Markas Angkatan Bersama (MAB) sebagai markas yang bertanggungjawab dalam mengawal operasi luar negara akan sentiasa memastikan kebajikan ahli keluarga MALBATT 850-8 diberi penumpuan sewajarnya agar para anggota pengaman dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap pelaksanaan misi.

“Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota keluarga MALBATT 850-8 yang telah memberi restu dan membenarkan suami, isteri, anak atau saudara-mara masing-masing untuk melaksanakan misi di luar negara,” ujar beliau.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam, Datuk Seri Utama Haji Awang Mohd Taha; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. – airtimes.my

Galeri gambar:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply