Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Helang Laut, pamer kesiagaan APMM pertahan perairan negara

Eksesais Helang Laut, pamer kesiagaan APMM pertahan perairan negara

by Air Times News Network

ALOR GAJAH, 1 Okt – Pelaksanaan Eksesais Helang Laut di perairan Selat Melaka semalam adalah salah satu usaha bagi memastikan kesiagaan aset, pegawai dan anggota serta komitmen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata eksesais selama satu hari itu untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang pelbagai kes dan jenayah termasuk ancaman kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) berada pada tahap optimum.

“Eksesais ini dilakukan bertujuan bagi menilai dan meningkatkan lagi kecekapan tata cara pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan Rule of Use of Force (RUF) dilaksanakan pegawai dan anggota APMM sentiasa berada pada tahap yang terbaik di lapangan semasa melakukan penguatkuasaan mahupun operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT),

“Selain latihan bagi mengukuhkan kesiagaan serta kepakaran pegawai, anggota dan Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) dalam melaksanakan tugas serta penggendalian aset seperti kapal, bot, pesawat udara dan jet ski, turut dilaksanakan juga simulasi penguatkuasaan dan CARILAMAT dalam sesi eksesais ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata prosedur latihan yang dijalankan turut meliputi pengendalian helikopter untuk pendaratan di atas dek kapal KM Pekan oleh kru pesawat dan kapal, tata cara ‘fast roping’ oleh anggota-anggota STAR Team, pengendalian boarding atau penggeledahan oleh anggota kapal dan bot serta latihan rutin bagi meningkatkan kemahiran dan kelancaran komunikasi antara aset-aset yang terlibat dalam eksesais ini.

“Eksesais Helang Laut ini melibatkan pelbagai aset laut dan udara antaranya KM Pekan, KM Gagah, KM Kota Kinabalu, KM Bagan Datuk, Bot Kilat, Bot Benteng, jet ski, helikopter AW139 dan AS 365 N3 serta pesawat Bombardier CL415MP,

“Sejak Op Benteng dilancarkan pada Mei lalu sehingga September, APMM telah melakukan 78 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan lebih RM37 juta,” ujarnya.

Eksesais ini turut melibatkan beliau bersama-sama dengan pengurusan tertinggi serta pegawai kanan Maritim Malaysia turut terlibat dalam eksesais kali ini bersama 150 pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang lain. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply