PORT DICKSON, 17 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima 7 buah bot pemintas yang bernilai RM 6.3 juta bagi memperkukuhkan pengoperasian Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan oleh pasukan itu di sepanjang perairan Selat Melaka.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, 7 unit bot pemintas pelbagai jenis ini akan diagihkan kepada beberapa negeri dan zon bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan di laut.
“Pasukan Tindakan Khas (PTK) akan menerima 2 unit bot pemintas ini, manakala APMM Negeri Perak, APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Zon Maritim Kuala Kurau serta Zon Maritim Batu Pahat masing-masing bakal memperoleh satu unit bot pemintas yang baharu ini,
“Manakala APMM Kuala Perlis bakal menerima satu unit bot pemintas pada awal Oktober depan. Keutamaan agihan bot pemintas ini diberikan kepada APMM Negeri dan Zon yang berdekatan dengan perairan negara jiran dan terdedah kepada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, dadah dan sebagainya,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam Facebook rasmi APMM, hari ini.
Zubil berkata, kesemua bot pemintas ini dinamakan sebagai “Kelas Benteng” selaras dengan perolehan aset berikutan keperluan bagi mempertingkatkan penguatkuasaan Op Benteng di bawah National Task Force (NTF).
“Sejak Op Benteng dilancarkan sehingga Ogos 2020, APMM telah memeriksa sebanyak 22,815 vesel dengan 190 tangkapan atas pelbagai kesalahan,
“Daripada keseluruhan tangkapan, 107 tangkapan melibatkan kes berkaitan perikanan manakala 27 kes tangkapan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI), 18 lagi melibatkan kes penyeludupan dan lain-lain sebanyak 38 kes. Maritim Malaysia juga turut merampas pelbagai barangan yang melibatkan kes dan dianggarkan bernilai RM10 juta,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan kepada seluruh rakyat tempatan supaya terus bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa maritim dan tidak menjadi tali barut kepada penjenayah.
“Penduduk setempat tidak boleh memberi maklumat atau memberi sebarang bantuan kepada mereka kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab ini akan mengugat keselamatan dan keamanan negara,
“Ianya juga selaras dengan usaha kerajaan dalam menyekat penyebaran wabak COVID-19,” ujarnya. – airtimes.my
Galeri gambar: