Home Semasa 3 anggota polis, seorang tentera tolak cubaan rasuah RM500 oleh warga asing

3 anggota polis, seorang tentera tolak cubaan rasuah RM500 oleh warga asing

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 3 Sept – Demi integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 3 anggotanya bersama seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menolak cubaan rasuah oleh dua lelaki warga asing yang ingin melepaskan diri dalam satu pemeriksaan di Jalan Teknologi 3/1 Kota Damansara, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku melibatkan anggotanya iaitu Koperal Mohamad Gaddafi Abd Manaf, Koperal Khairul Izham Harun, Konstabel Wan Mohd Hanif Wan Abd Aziz dan anggota tentera, Prebet Muhammad Najmi Amat Samsudin.

Jelasnya, kejadian itu berlaku semasa rondaan cegah jenayah Aberdeen di kawasan tersebut oleh kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya.

“Semasa rondaan tersebut, pasukan ini ternampak sebuah kereta yang dinaiki dua warga asing yang berumur 29 dan 42 tahun itu dalam keadaan mencurigakan,

“Apabila hendak menahan kereta tersebut, mereka terus memecut laju sehinggalah berjaya menahannya di hujung Lorong Teknologi C, Kota Damansara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Nik Ezanee, ketika ditahan salah seorang warga asing itu cuba menawarkan sejumlah wang bernilai RM500 dan jika tidak cukup, boleh menambahkannya lagi kepada pihak polis bagi melepaskan diri daripada ditangkap.

“Pihak polis membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek dan didapati mereka gagal mengemukakan lesen memandu serta dokumen perjalanan yang sah,

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih,” ujarnya.

Turut dirampas, sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki kedua-kedua suspek untuk siasatan lanjut. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply