Home Pertahanan dan Keselamatan APMM, ATM patahkan cubaan seludup 141kg daun ketum di perairan Kuala Perlis

APMM, ATM patahkan cubaan seludup 141kg daun ketum di perairan Kuala Perlis

by Air Times News Network

KUALA PERLIS, 22 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 141.2 kilogram daun ketum yang dimuatkan dalam 750 bungkusan plastik ke negara jiran melalui perairan Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot fiber tanpa nombor pendaftaran tersebut ditahan di perairan Perlis pada jarak lebih kurang 0.1 batu nautika daripada muara Kuala Perlis, sekitar jam 4.42 pagi semalam.

“Hasil maklumat daripada Pasukan Unmanned Aircraft Systems (UAS) ATM melalui Pusat Operasi Maritim Zon Kuala Perlis, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan Op Benteng Laut diaturgerak ke lokasi kejadian,

“Pemantauan yang dilaksanakan Tim UAS telah mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan melakukan aktiviti pemindahan barang di perairan Perlis,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, sebuah bot fiber cuba melarikan diri dengan menukar haluan ke daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun bot Maritim Malaysia berjaya memintas dan menahan kedua-dua bot tersebut.

“Seorang tekong telah bertindak terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke hutan bakau berhampiran, sebelum pihak berkuasa menghampiri mereka. Manakala sebuah bot lagi didapati tiada kesalahan dan dilepaskan selepas diperiksa,

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut pihak berkuasa menemui semua bungkusan berisi daun ketum itu,

“Daun ketum dan sebuah bot fiber berserta enjin sangkut bergalah yang dirampas bernilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 11 ribu,” jelasnya.

Tambahnya, semua rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply