Home Semasa 227 lagi ditahan, 164 individu dikenakan kompaun ingkar PKP

227 lagi ditahan, 164 individu dikenakan kompaun ingkar PKP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Seramai 227 lagi individu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 24 jam yang lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 62 individu direman dan seorang telah dijamin. Manakala, 164 individu lagi dikenakan kompaun.

“Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 65,434 pemeriksaan semalam (23 Julai 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),

“Pasukan pematuhan ini akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai kawalan di sempadan negara, Ismail Sabri berkata, PDRM telah menahan 10 warganegara asing dalam 34,972 pemeriksaan kenderaan di 67 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng yang dilakukan di seluruh negara semalam.

“Dari 1 Mei sehingga 23 Julai 2020, seramai 2,105 PATI, 572 tekong serta 126 penyeludup telah ditahan. Turut ditahan 79 bot dan 224 kenderaan yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara,

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223,” tambahnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply