Home Semasa Kepala surat rasmi Menteri di JPM guna tulisan Jawi

Kepala surat rasmi Menteri di JPM guna tulisan Jawi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kerajaan serius untuk memartabatkan tulisan jawi dengan memutuskan bahawa hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata, usul ini telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli Jemaah Menteri.

“Sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini, JPM ingin menguar-uarkan kempen ‘Hari Jumaat Hari Jawi’ bermula hari ini,

“Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi termasuk di semua peringkat jabatan itu,” katanya.

Menurut Dr Zulkifli lagi, penggunaan tulisan Jawi juga akan diperluas kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” ujarnya.

Tambahnya, tulisan Jawi menjadi bahasa perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu.

“Tulisan Jawi turut diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebut tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi Bahasa Kebangsaan,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply