Home Pertahanan dan Keselamatan PVTLDM santuni 25 ahli di Kedah sempena Hari Raya Aidilfitri

PVTLDM santuni 25 ahli di Kedah sempena Hari Raya Aidilfitri

by Hamzah Hj Dollah

ALOR SETAR, 23 Mei – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Kedah telah menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan dapur dan wang tunai kepada ahli veteran TLDM dalam usaha meringankan beban kepada veteran-veteran yang bermasalah menghadapi persiapan menjelang hari raya tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua (TYDP) PVTLDM Cawangan Kedah, Tuan Haji Zulkifli Muhyuddin berkata, aktiviti ini dijalankan setiap tahun sebagai salah satu program kebajikan persatuan.

“Pada tahun ini kami turut memberi sumbangan kepada veteran yang mengalami sakit kronik atau uzur.  Bantuan juga diberikan kepada ahli yang mengalami kerosakan rumah akibat dilanda angin ribut baru-baru ini,” katanya

Pada 19 dan 20 Mei 2020 yang lalu, beliau bersama 8 orang ahli jawatan kuasa telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kumpulan-kumpulan ini seterusnya turun padang untuk menyampaikan sumbangan 25 orang penerima terpilih  yang berada di pelbagai daerah di negeri Kedah.

Turut menerima sumbangan yang berupa wang tunai ialah bekas anggota kepakaran Peperangan Aras Permukaan (PAP),  Mohd Khairul Ismail yang tinggal di rumah bapanya di Bohor Karang Jerlun Kedah yang cedera akibat bencana kebakaran rumahnya di Sungai Relong, Taiping Perak pada 24 Mac 2020 yang lalu.  Dalam kejadian tersebut, isteri beliau yang sedang mengandung 5 bulan beserta 2 orang anak (2 dan 4 tahun) telah terkorban.  Hanya seorang anak lelakinya yang berumur 6 tahun dapat diselamatkan.  Manakala beliau sendiri melecur di sebahagian badannya.

Pihak PVTLDM Kedah sebelum ini telah pun memberi bantuan awal kewangan khas kepada beliau.  Selain daripada itu kutipan derma kilat dan sumbangan pakaian terpakai juga telah diuruskan oleh pihak PVTLDM pusat dan negeri bagi membantu meringankan beban Mohd Khairul yang hanya tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian tersebut.

Tambah Zulkifli lagi,  PVTLDM Kedah sedang giat menjalankan kempen menambah keahlian persatuan.  Buat masa ini daripada anggaran 2,900 veteran seluruh negeri Kedah, hanya sekitar 15 peratus sahaja dari kalangan mereka yang berdaftar.  Bantuan kebajikan ini hanya dikhususkan kepada veteran yang berdaftar sebagai ahli sahaja.  Justeru beliau menyeru agar lebih ramai lagi yang tampil mendaftar sebagai ahli supaya hal kebajikan mereka dapat diberi perhatian sewajarnya di samping mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim sesama veteran yang sebelum ini telah banyak berkorban demi keselamatan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Related Articles

Leave a Reply